Sunday 7 July 2019

Cerita Sebuah Sunyi Yang Tak Bertepi

Ada sesetengah perkara dalam hidup ini, saya fikir dengan mendiamkan ketidakpuasan hati, saya berlaku adil pada diri dan manusia sekeliling. 

Fikir saya, mendiamkan itu bermaksud saya tidak akan melukakan hati mereka yang berkemungkinan berkecil hati dengan luahan kata-kata saya. Sekalipun ketidakpuasan hati itu lahir daripada sikap mereka pada saya.

Tujuh tahun ini terutamanya, saya belajar menghakis 'aku' daripada diri. Belajar bahawa sisi introvert diri yang lahir dengan hati sensitif ini perlu saya kawal supaya tidak melimpah emosi diri hingga mengaburi rasionaliti. 

Tahun-tahun kebelakangan ini barulah saya sedikit berjaya kawal diri. Saya berusaha diamkan diri bila tiba waktu-waktu yang saya rasa tidak diadili. Tak mengapa, mungkin dewasa itu mengajar kita menelan pahit sendiri. Fikir saya.

Cuma, tidak pernah saya sangka berdiam yang semakin biasa menemani, rupanya memakan diri. Hingga hari ini, hati saya yang sudah berbulan menangis sendiri akhirnya mengalirkan air mata di pipi. 

Saya luahkan sebahagiannya pada Hadi dalam kereta tadi. Tapi sebahagian itu buatkan cerita yang saya luah menjadi canggung. Terlalu dalam dan masih banyak yang terbuku dan belum mampu saya luahkan. 

Saya silap. Sebahagian tak akan pernah beri gambaran sempurna pada segalanya yang tersirat. Bagaimana manusia lain akan faham perkara-perkara yang tidak kita ucap jelas di mulut?

Tapi sejujurnya saya juga tidak berjumpa perkataan yang sesuai untuk saya luahkan dalam bentuk perkataan. 

Tuhan, aku ini benarkah terlalu sendiri? Benarkah semakin ramai yang mahu melangkah pergi? Tuhan, kuatkanlah aku dengan ingatan bahawa Engkau sentiasa di sisi. 

Sudah berbulan saya berteman tidur yang jauh dari lena. Hampir setiap bulan ada tidur saya yang jadi begini. Saya fikir dan fikir dan fikir. Lelah sungguh rasa. Perasaan saya berbelah bagi. Dosa sayakah sampai jadi begini?

Ada waktu-waktunya hati saya menjerit mahu didengari. Kemudian saya buntu. Buntu memikirkan, "Amalina, siapa saja manusia yang mahu dengar resahmu?" Kerana saya sedar hakikatnya, semua manusia sedang menghitung resah mereka sendiri. 

Ada juga beberapa kali saya terfikir mahu senyap-senyap pergi bertemu psychologist. Tercari-cari mengapa dengan diri. Tapi hati saya belum kuat buat begitu. Mungkin sisi introvert diri buatkan keputusan tidak pergi itu lebih kuat. 

Pada masa ini, saya rasa mahu mengalah dan terus berdiam diri. Seperti biasa, mengharapkan pedih berlalu pergi. Walaupun saya tahu hanya menambah nanah lagi dan lagi. 

Amal,
Paya 8.06 malam.

Tuesday 25 June 2019

Jadi Kita Drive Lah Nanti?

Sabtu minggu lepas, seperti biasa kelas ALC berjalan macam biasa dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Selalunya apabila hampir seharian berdiri dalam kelas berturutan begini, sukar nak elakkan rasa letih walaupun sedikit.

Tapi minggu lepas, saya plan ke KL dengan Hadi. Asalnya saya seorang nak pergi, tapi Hadi seperti biasa tawarkan diri menemani. Dalam erti kata lain, beliaulah yang akan memandu perjalanan hampir 500 kilometer itu.

Rancangan saya, habis kelas jam 6.00 petang, saya nak bertolak ke KL dengan bas pukul 10.30 malam. Sampai di KL Sentral jam 6.00 pagi, kemudian mandi dan urus diri, lalu terus ke kelas jam 9.00 pagi. 

Tapi Hadi beri cadangan berbeza. Habis kelas ALC jam 6.00 petang, kami bersiap lalu terus bergerak ke KL dengan kereta sebelum jam 7.00 petang. Saya risau dengan satu perkara saja tentang idea Hadi ini.

Bagaimana kalau kami berdua terlalu keletihan dalam perjalanan, memandangkan baru habis mengajar seharian? 

"Kita berhenti rehat di R&R. Kalau mengantuk, kita tidur sekejap. Kemudian kita sambunglah perjalanan," kata Hadi.

Lepas berkahwin, ada satu perkara yang saya belajar daripada Hadi. Bahawa hidup ini, banyak yang mudah sebenarnya apabila kita beri ruang untuk diri berfikir secara mudah.

Kurangkan bawa bebanan yang tidak perlu dalam hidup ini, secara fizikal dan mental. Terutamanya secara mental. Kerana saya terbiasa sejak kecil, hidup dengan bebanan mental yang agak sarat. 

Apa orang kata?
Apa akan jadi kalau buat begitu?
Apa akan jadi kalau buat begini?
Nanti ada orang terasa hati ke dengan kita?
Kita sakitkan hati orang ke nanti dengan berbuat begitu?
Kalau kita gagal, ada orang akan kecewakah dengan kita?

Idea hidup secara 'simple' ini asalnya sukar saya terima. Tapi selepas hampir 7 tahun  hidup bersama Hadi, saya semakin rasa bebas hidup dengan idea 'simple' ini.

'Ignore' apa orang kata, jika apa orang kata itu tidak menjadikan kita manusia yang lebih baik di sisi Allah. Hakikat sebenarnya kehidupan dunia ini ada satu saja, meraih redhaNya. Tapi sebagai manusia kadang kita lupa. 

Kita tambah dengan benda-benda lain hingga serabut jadinya hidup. Tak mengapa, belajar untuk 'declutter'. Singkirkan perkara-perkara yang 'no longer spark joy' bak kata Marie Kondo. Hehe.

Maka bermulalah perjalanan kami pukul 7.00 petang dari negeri hujung peta Malaysia, Perlis ke KL. Saya berdoa moga Allah kirimkan kami kekuatan fizikal dan mental sejak awal minggu. 

MashaAllah, sungguh tak terasa 6 jam perjalanan! Saya tak teringat berhenti bersembang hinggalah kami 'check-in' hotel jam 1.00 pagi. 

"Kenapa rasa singkat ya perjalanan kita? Macam tadi petang ada kat Perlis, tiba-tiba malam dah ada kat KL ni," saya suarakan pada Hadi.

"Alhamdulillah. Abang pun tak rasa mengantuk langsung masa drive. Alhamdulillah, Allah bagi segar mata," kata Hadi.

Selesai 'update' pada keluarga yang kami sudah sampai di KL, kami pun lelapkan mata. Sambil dalam hati saya rasa tak sabar dengan agenda esok yang telah saya rancang berkali-kali. Namun subhanallah kali ini Allah tunaikan doa saya. 

Amal,
Setapak 22 Jun 2019 2.00 pagi.




Thursday 20 June 2019

Kamu Dan Manusia


Menjadi manusia yang difitrahkan dengan emosi sebakul tentunya berbeza daripada kamu.
Kamu fikir segala rajuknya tanpa pasal.
Lalu kamu biar berlalu pergi.
Kerana sangka kamu luka itu sifatnya pulih sendiri.
Ah kamu, ringan hidup pada mata dan hati!

Sedikit kamu tahu bahawa luka itu bertuan.
Dan tuan sifatnya berpergian.
Sedang luka walau dalam ia sifatnya tetap.
Kecuali hidup kamu mahu terus bersama luka.
Hilang tuan pun tidak mengapa.

Suatu hari, manusia akan melangkah.
Setelah menanggung rasa membuahkan lelah.
Tapi kamu pilih diam hingga ke sudah.
Tidak mengapa jika takdir begitu kamu pasrah.

Amal,
Paya 10.06 malam.

Monday 17 June 2019

Sabar

Ramadan baru-baru ini, kami sekeluarga dikejutkan dengan berita nenek (kami panggil Tok) terjatuh dan tulang pinggulnya patah. 

Ramadan dan Raya hari tu, saya dan Hadi pergi ziarah Tok. Kemudian minggu lepas, Hadi suarakan, "Isnin nanti kita balik kampung ziarah Tok nak tak?" Saya setuju. Maka semalam, kami pun balik ke kampung ziarah Tok. 

Tok tinggal dengan Pak Cik sekeluarga di Kedah. Pak Cik, Mak Cik dan anak-anaklah yang mengurus Tok secara sepenuh masa sambil dibantu anak-anak Tok yang lain yang kerap pulang bantu menguruskan keperluan Tok.

Keluarga Pak Cik dan Mak Cik ini punya seorang anak kelainan upaya yang perlu diurus juga keperluannya secara sepenuh masa. 

Pak Cik dan Mak Cik masih bekerja sebagai penjawat awam sepenuh masa sebagai menanggung keperluan nafkah keluarga.

Sampai saja saya dan Hadi di rumah Pak Cik semalam, Pak Cik, Mak Cik baru pulang dari kerja. Situasi mereka menguruskan Tok dan anak kelainan upaya ini sebaik saja pulang dari kerja, sangat menyentuh hati saya. 

Dan saya yakin, Allah tunjukkan di depan mata sebagai pengajaran untuk saya.

Sebaik pulang dari kerja, Mak Cik seperti biasa dengan senyum manisnya menyapa kami sambil kata, "Duduk sekejap ya, Mak Cik nak bagi Tok dengan Awfa mandi dan makan ya."

Saya lihat baju kerjanya masih belum bersalin. Terus Mak Cik ke bilik Tok, dibantu Pak Cik dan anak mereka menyalin lampin dan pakaian Tok, memapah Tok ke bilik mandi. 

Selesai mandikan Tok, Mak Cik bersiap-siap dengan makanan dalam pinggan untuk disuap ke mulut Tok. Mak Cik ialah menantu kepada Tok, tetapi kalau yang melihat kesungguhan Mak Cik menguruskan Tok, tentu fikir Mak Cik ini anak Tok. 

Siap menguruskan Tok, saya lihat Mak Cik bergegas ke bilik anaknya pula. Pakaian kerja masih belum bersalin, belum makan tengah hari dan Mak Cik terus menyuapkan anaknya makan.

Saya lihat jam di tanga, ketika ini sudah hampir pukul 3.30 petang. Sejak balik kerja pukul 2.00 petang tadi, Mak Cik belum duduk, belum sempat tukar pakaian kerja, peluh membasahi dahi dan bajunya. 

Dan saya lihat anak kelainan upaya ini menepis nasi yang Mak Cik ingin suapkan. Bertabur di lantai. Mak Cik sabar bersihkan, lalu sambung menyuapkan si anak. 

Perlahan saya bertanya, "Mak Cik lapar tak? Mak Cik belum makan tengah hari sejak balik tadi."

"Tak apa, Mak Cik minum sikit tadi di sekolah," jawab Mak Cik.

Mungkin sebab itulah agama kita menganjurkan ziarah orang sakit. Hati kita belajar bukan hanya daripada orang yang sakit, tapi Allah didik kita bagaimana sabar yang sebenar melalui orang-orang di sekeliling yang menguruskan orang sakit itu juga.

Sambil Mak Cik menguruskan makan anaknya, saya lihat Pak Cik tertidur di sofa. Baju kerjanya masih dipakai. 

"Abang, masuk tidur dulu. Sekejap lagi nak pi padang," Mak Cik menyuarakan pada suaminya.

Padang ini ialah istilah orang sebelah Kedah yang merujuk pada sawah padi. Ya, Pak Cik akan turun ke sawah pula sebelah petangnya.

Bagaimana keluarga ini punya kekuatan sebegini, kalau bukan kiriman Allah buat mereka? Asyik berulang-ulang pertanyaan ini di kepala saya.

Moga syurgalah buat kalian. Moga penat di dunia ini Allah gantikan dengan kerehatan syurga buat kalian.

Amal,
Sedaka 17 Jun 2019 4.00 petang.


Saturday 15 June 2019

Kelas Kecil Tepi Sawah

Kelmarin, buat pertama kalinya kelas tuisyen kecil tepi sawah saya jadi bertambah ramai ahlinya.

Sebelum ini kalau bertambah pun, seorang dua saja. Tapi semalam hampir sekali ganda ramainya. Tiba-tiba terasa meriah keluarga kecil Amal Learning Centre (ALC).

Sejujurnya saya gembira semalam. 

Gembira melayan pertanyaan-pertanyaan anak-anak ALC yang datang daripada riak wajah yang ikhlas semuanya.
Gembira dengan jemaah Asar rumah kecil tepi sawah ini yang ramai. Biasanya 2 orang saja, saya dan Hadi.


Inilah sebahagian gambar jemaah Asar kami yang sempat saya ambil. Kami solat bersama di ruang tamu. Saya punya impian, setiap inci ruang rumah kecil tepi sawah ini bermanfaat untuk akhirat saya dan Hadi. 

Hikmahnya saya dan Hadi belum ada rezeki mengisi ruang tamu rumah kami dengan perabot, ruang itu elok-elok kami jadikan ruang solat dengan anak-anak ALC.

Alhamdulillah. Allah atur dengan sebaik-baik rencana hidup kita. Ada juga waktu saya segan bila tetamu datang dan lihat ruang tamu kami yang kosong.

"Tak apalah. Kita jarang guna ruang tamu tu. Kalau tetamu datang kita bawa ke ruang keluarga dulu. Nanti ada rezeki, kita masuk sedikit demi sedikit perabot di situ," pesan Hadi.

Ada sekali ceramah Ustaz Fawwaz Md Jan pesan, "Kadang-kadang, antara tanda duit kita kurang keberkatan ialah setiap kali ada lebihan duit sikit, kita mesti nak besarkan rumah. Kita mesti nak 'extend' rumah. Duit kita habis dengan urusan memperelokkan rumah sementara atas dunia ini yang tidak berkesudahan."

Saya fikir, sebagai manusia yang masih lagi terikat hati pada dunia, mungkin saya pun tidak lari daripada buat perkara yang sama, kalau Allah beri lebihan duit yang banyak. Maka, Allah didik untuk latih berjimat dengan yang sedikit ini.

Sehinggalah hati kita tidak terpaut pada dunia, maka biarlah pada waktu itu Allah berikan harta yang banyak. Kerana manusia pada waktu itu, akan lebih ringan untuk memberi dan simpan hanya sekadar cukup keperluan hidup atas dunia.

Selebihnya, berilah. Kerana bila harta makin banyak, saya yakin makin bertambah banyak juga bahagian orang lain dalam harta yang kita sangka milik kita. Sedangkan Allah salurkan 'melalui' kita saja, milik orang lain itu. 

Ini hakikat sebenarnya.

Teringat cerita-cerita tentang sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Dulu masa saya kecil, gambaran yang saya dapat ialah, golongan sahabat ini rata-ratanya miskin belaka. 

Bila dewasa dan berupaya cari bahan bacaan dan pengajian sendiri, perspektif saya berbeza.

Saya rasa, golongan sahabat Rasulullah SAW ini ramai juga yang kaya-raya. Tapi harta kekayaan dunia itu tidak melekat di hati mereka. 

Maka mereka beri harta-harta itu sebagai sedekah yang menjanjikan balasan kekal abadi dalam bentuk pahala waktu kembali bertemu Yang Maha Memiliki nanti. 

Ingat tak cerita Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA yang menyedekahkan kesemua hartanya untuk perang? 

Bila termenung fikir cerita ini, saya tertanya-tanya, "Kalaulah sekarang ini disuruh infak kesemua harta saya yang sedikit ini untuk jalan Islam, mampukah saya?"

Sejujurnya jawapan saya ialah tidak. Kerdilnya iman diri. Masa ada sedikit pun sukar beri, apatah jika yang ada itu banyak kan?

Allah, lembutkanlah hati-hati kami agar sentiasa sedar segala yang kami miliki atas dunia ini sementara.

Segalanya hanya akan jadi debu mengiringi kematian kami kelak. Jadikanlah segalanya ladang pahala berterusan untuk kami sampai kami bertemu denganMu.


Kenangan kelas semalam, Sabtu 15 Jun 2019. Moga terus subur ahli kelas ALC ini dengan ilmu. Moga pertambahan ahli ini buatkan kami semakin cinta pada ilmu dan redha dengan jalan menuntutnya yang berliku. 

Amal,
Paya 11.05 pagi.




Thursday 13 June 2019

Hari Seorang Amalina Menjadi 'Puan'

Lepas balik dari Pulau Pinang hari tu, rasanya hampir 4 hari saya tak keluar rumah. Atas pilihan sendiri. Ada satu ruang dalam diri saya selalu begini. Rasa exhausted bila berada dalam crowd. 

Lalu lama pula masa diambil untuk 'pulih'. Saya pun tak sedar wujud rasa begini sehingga saya berkahwin. Bila diingat semula, zaman universiti pun saya selesa sendiri. Ke mana-mana banyak sendiri. Cuma waktu itu tak perasan diri begitu. 

Alhamdulillah Hadi sangat memahami dan memberi ruang untuk saya menjadi diri sendiri walau kami berkongsi hidup di rumah kecil tepi sawah ini bersama. 

Hari ini, memandangkan ada urusan perlu saya selesaikan di luar, saya mohon izin Hadi untuk keluar. "Pergilah, enjoy your me-time," kata Hadi sebelum saya keluar tadi. Hadi hantar sampai ke pintu sambil senyum dan lambai. 

"Tenang sentiasa wajah lelaki ini," fikir saya dalam hati, yang buatkan saya sentiasa ingin jadi versi diri yang lebih baik setiap hari. 

Saya bawa beg kanvas gambar kucing dan sarung Crocs merah jambu lusuh itu seperti biasa. Memandu sendiri dan pilih sudut makan paling hujung di kedai makan tadi. Allah...bahagia. Rasa diri dan fikiran saya 'hidup' bila begini. 

Sambil makan tadi saya buka Kuliah Sembang Santai Ustaz Ibnu Rijal tentang The Lost Kingdom of Sulaiman. Inilah satu tabiat yang saya sukar tinggal sejak di universiti. Makan sambil tonton video yang kalau saya ikutkan hati, boleh berjam-jam tak berhenti.

Dan pertama kalinya, kakak yang datang kirakan harga makanan saya memanggil saya dengan panggilan 'puan' hari ini. Terkejut lalu saya pandang kakak itu. 

Apakah beliau sudah terlupa saya yang selalu datang dan makan di sudut paling hujung ini?

Belum pernah saya dipanggil dengan panggilan 'puan' di sini. Biasanya, lebih kurang 10 minit menunggu pesanan air tanpa dipedulikan mana-mana pelayan kedai. 

Ya, itu biasa untuk saya setiap kali datang kedai makan ini. Tapi masakan mereka sedap dan tempat duduknya selesa, maka saya datang lagi dan lagi. 

Saya pandang sekeliling, dan ternampak satu keluarga taukeh restoren duduk betul-betul di meja bersebelahan saya. Oh, kepala saya ligat berkira-kira, "Bos kakak ini duduk sebelah meja saya rupanya. Maka saya jadi 'puan' hari ni."

Saya geli hati dan senyum sendiri. Lalu sambung makan sampai licin pinggan. Bersiap-siap untuk sudahkan urusan yang berbaki. 

Saya fikir, mana-mana manusia perlukan me-time begini sekali-sekala. Keluar sendiri dan perhati gelagat dunia sekeliling. 

Kadang Allah perlihatkan sifat kita dalam diri manusia lain. Saya teringat kakak di kedai makan tadi. Mungkinkah saya juga pernah begitu semasa makan gaji dulu? Hati kecil saya perlahan menyebut ya.

Saya malu. Malu dengan lintasan-lintasan hati sendiri. Perbuatan-perbuatan kita yang kadang-kala, asbab Allah Maha Baik, Dia lindung aib kita, lalu yang ternampak pada orang, baik-baik belaka. 

Tapi bila duduk sendiri begini, kita akan ingat balik segalanya. Allah, lindunglah aib kami atas dunia ini dan di akhirat kelak. Kerana kami tiada dan upaya melainkan kiriman kekuatan dari sisiMu. 

Amal,
Kangar 13 Jun 2019 1.00 petang.






Monday 10 June 2019

Idea Janggal Dan Syawal 1440

"Raya kali ni, jom kita pergi bercuti nak?" Hadi bertanya saya suatu pagi di minggu-minggu terakhir Ramadan. Saya tenung mata beliau. Sarat seribu satu beban. Sudah lama juga saya sendiri ingin suarakan hal yang sama, tapi saya pendam kerana tenggelam mencari kekuatan menjadi berbeza.

Sekitar 2007, ketika sedang menyambung pengajian A-Level, pertama kalinya saya mendengar idea pergi bercuti ketika hari raya. Aneh sungguh bagi seorang Amalina 18 tahun ketika itu. Tak pernah terlintas dalam kepala saya untuk pergi bercuti ketika hari raya.

"Kita nak pergi bercuti ke Indonesia hari raya nanti dengan keluarga. Mak, ayah, kakak dan saya. Mungkin ini kali terakhir kakak saya beraya sebagai anak bujang mak ayah. Hujung tahun ni kakak nak kahwin dah. Cuti raya ni saja kami dapat cari masa rehat bersama."

Ini cerita kawan serumah saya ketika itu. Itulah kali pertama saya mendengar idea pergi bercuti masa hari raya. Tanpa saya sangka, itulah perkara yang paling ingin saya buat Syawal tahun ini.

Keluarga dan saya diuji dengan beberapa ujian sepanjang Ramadan ini. Ujian yang menguji kesabaran kami. Ada antara kami yang tewas, ada yang masih bertahan dengan luka di hati berbekas. 

"(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri." - Surah al-Hadid, ayat 23

Saya teringat kembali perbualan dengan kawan serumah 13 tahun yang lepas. Benar, janggal jika idea pergi bercuti masa hari raya ini saya dan Hadi suarakan pada keluarga. Janggal untuk kami yang sudah terbiasa beraya lebih 10 buah rumah dalam sehari ini. 

"Maksud Abang, hari raya pertamakah? Erm...ada orang gantikan abang jadi imam solat raya nantikah?" Saya bertanya Hadi ingin kepastian. Jika diikut hati sendiri, mahu saja hari yang sama saya siapkan beg baju kami berdua. 

"Abang rasa, elok kita solat raya di sini. Kita ziarah rumah Mak, Ummi, Tok, Njang, Pak Ndak, Pak Tam, Chu Azmi. Kita usaha tunaikan hak saudara-mara dulu, inshaAllah. Lepas tu, kita gerak ke Penang," Hadi jelaskan pada saya. 

Dalam diam, hati saya semakin hormat dengan lelaki ini. Kesabarannya, akhlaknya, tutur katanya yang sentiasa baik pada saya, mengajar saya banyak perkara. Saya ingin jadi manusia yang lebih baik bila hidup dengan beliau.

Kekuatan dia untuk masih berbuat perkara yang betul pada saat ditekan dengan ujian hidup, sentiasa buatkan saya malu mengenang kekurangan pada akhlak sendiri. 

Kesabaran dia untuk tidak mengeluarkan kata-kata buruk pada saat dirinya dihimpit dengan buruk akhlak manusia padanya...subhanallah. Maha Suci Allah yang berkuasa memperelokkan peribadi manusia. 

Luarannya sentiasa nampak biasa pada orang lain, tetapi hanya yang biasa hidup bersama akan tahu tiada ganti seorang Hadi ini. Biarlah manusia tidak tahu, Allah tahu, Dia Maha Tahu. 

Makanya, bermulalah raya kami yang berbeza tahun ini. Kami akhirnya pergi bercuti pada hari raya kedua. Alhamdulillah. Sungguh di tengah-tengah kekalutan ini, saya gembira Allah selitkan ruang kecil untuk kami berdua bercuti bersama. 

"Harta benda dan anak-pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia, dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pahalanya di sisi TuhanMu sebagai balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan." - Surah al-Kahfi, ayat 46
Amal,
Feringghi 7 Jun 2019 7.00 pagi.

Cerita Sebuah Sunyi Yang Tak Bertepi

Ada sesetengah perkara dalam hidup ini, saya fikir dengan mendiamkan ketidakpuasan hati, saya berlaku adil pada diri dan manusia sekeliling...